Wednesday, June 23, 2021

20. MERUBAH SIKAP SECEPAT MUNGKIN

Manusia memiliki dua sikap iaitu baik atau tidak baik. Sikap baik perlu dikekalkan dan jangan diubah kepada sikap yang tidak baik. Akan tetapi jika anda memiliki sikap yang tidak baik, anda perlu berubah kepada seorang yang bersikap baik. Bersikap baik bukan sahaja akan memberi faedah kepada diri anda sendiri tetapi juga kepada orang lain. Sebaliknya jika anda bersikap tidak baik, bukan sahaja anda akan mendapat keburukan tetapi juga orang lain.


Merubah sikap yang tidak baik kepada baik tidaklah semudah seperti yang kita inginkan. Tambahan pula jika sikapnya itu sudah lama kita amalkan. Banyak halangan yang dihadapi untuk berubah. Halangan bukan sahaja datang dari diri sendiri tatapi juga dari pihak lain. Ajrul adalah seorang penguatkuasa di sebuah jabatan kerajaan. Sepanjang perkhidmatannya selama 20 tahun dia selalu telibat dengan rasuah. Dia akan menerima wang daripada orang yang melanggar undang-undang dengan cara tidak mengambil tindakan ke atas orang yang melakukan kesalahan. Kadang-kadang Ajrul meminta wang dengan orang itu supaya tiada tindakan undang-undang diambil ke atas pelanggar kesalahan.

Ajrul pernah terfikir untuk berubah namun hasratnya tidak terlaksana kerana dia perlu wang yang lebih bagi menampung kehidupannya yang mewah seperti memiliki beberapa buah kereta mewah dan tinggal di apartmen mewah. Dia juga tidak dapat berubah kerana ramai rakan-rakannya terlibat dengan rasuah.

Suatu pagi ketika Ajrul sedang berada di pejabatnya dia didatangi oleh tiga orang pegawai dari Suruhanjaya Anti Rasuah (SAR) dan setelah pertemuan itu, dia ditangkap dan dibawa ke pejabat SAR untuk ditahan reman atas tuduhan menerima rasuah. Hasrat Ajrul untuk berubah sudah terlambat dan setelah perbicaraan berlangsung di mahkamah, dia dijatuhkan hukuman penjara 5 tahun oleh hakim setelah didapati bersalah. 

Untuk berubah kita tidak boleh bertangguh dan perlu lakukan dengan segera. Biar sukar dan pahit sekali pun kita harus hadapi dengan bersungguh-sungguh untuk mengatasi semua rintangan yang ada. Semakin lama kita menunggu untuk berubah semakin hampir kita dengan pihak berkuasa untuk mengambil tindakan undang-undang ke atas kita. Berubah itu penting supaya kita dapat kembali ke jalan yang betul untuk membolehkan kita dan keluarga hidup ceria dan bahagia.

Saturday, September 17, 2016

19. MENJAGA PERCAKAPAN KITA

Percakapan merupakan komunikasi antara kita dengan orang lain. Kejelasan dalam percakapan dan mudah difahami akan menyenangkan pihak yang mendengarnya. Selain itu percakapan perlu dijaga dengan baik dengan tidak mengeluarkan kata-kata yang boleh menyinggung perasaan orang lain. Kata pepatah, terlajak perahu boleh diundur terlajak kata buruk padahnya. 

Menjaga percakapan adalah penting bagi memastikan perhubungan kita dengan orang lain terpelihara baik. Mengeluarkan kata-kata yang baik boleh menyenang orang yang kita berkomunikasi. Ibu bapa yang mengeluarkan kata-kata baik dan positif apabila bercakap dengan anak-anak sudah tentu akan mempengaruhi mereka untuk mengeluarkan kata-kata seperti ibu bapa mereka. 

Percakapan kita boleh memberi kesan positif atau negatif kepada orang lain. Kesan positif berpunca daripada percakapan kita yang tidak menyakiti, menghina dan menjatuhkan air muka mereka. Kesan negatif pula seperti percakapan kita dengan pihak lain yang menghina, menjatuhkan air muka, mendedahkan kelemahan, membuat tuduhan tidak berasas dan menceritakan keburukan mereka. 

Percakapan kita mencerminkan peribadi kita. Orang lain akan membuat persepsi atau tanggapan kepada kita berdasarkan kepada percakapan kita. Presiden Amerika Syarikat Donald Trump dianggap sebagai ketua negara yang lebih mementingkan perniagaan dan ekonomi daripada keselamatan dan nyawa rakyatnya ketika Amerika Syarikat sedang menghadapi krisis penularan wabak Covid-19 yang melibat kematian melebihi 50 ribu rakyatnya dalam bulan April 2020. Tanggapan ini berlaku berdasarkan ucapan Trump semasa sesi sidang media di pejabatnya Rumah Putih berhubung dengan wabak Covid-19 yang melanda  semua negara di dunia termasuk Amerika Syarikat. 

Kata-kata boleh menaikkan semangat dan kegembiraan tetapi dalam masa yang sama kata-kata juga boleh membunuh perasaan dan kesedihan. Berilah ruang dan peluang kepada diri kita dan orang lain untuk menikmati keceriaan dan kebahagiaan melalui amalan menjaga dengan baik setiap percakapan kita.



18. MENGGUNAKAN AKAL UNTUK KEBAIKAN

Kita adalah salah seorang insan yang lahir di atas muka bumi bergelar makhluk Tuhan. Beberapa pertanyaan yang sering dikemukakan oleh seseorang seperti mengapa kita dilahirkan, dari segi keturunan, agama, masyarakat, zaman, kedudukan dan taraf hidup tidak perlu kita khuatirkan kerana semuanya itu di luar tahap pemikiran kita. Kita harus menerimanya dengan hati terbuka dan percaya bahawa Tuhan memilih kita kerana ada hikmah untuk kita.  

Manusia berbeza dengan makhluk lain dari sudut akal. Kita dianugerahkan akal oleh Allah untuk berfikir sedangkan makhluk lain yang boleh dilihat seperti haiwan dan tumbuh-tumbuhan tidak memilikinya dan kehidupan mereka adalah berdasarkan fitrah Tuhan. Kenapa kita tidak membuang air kecil di tayar kereta kita atau orang lain sedangkan kucing atau anjing suka berbuat begitu disebabkan kita mempunyai akal berbanding dengan binatang itu yang tidak berakal.

Kita dilahirkan dalam situasi berbeza dari segi keturunan, fizikal dan status sosial tetapi dari segi akal adalah sama. Akal yang Tuhan bekalkan bertujuan supaya dgunaikan untuk kita berfikir. Kita boleh fikirkan untuk melakukan sesuatu yang baik atau tidak baik. Menggunakan akal untuk melakukan perkara baik akan menghasilkan kebaikan dan sebaliknya akan memperolehi keburukan apabila digunakan untuk perkara tidak baik.

Seorang kanak-kanak berumur 12 tahun bernama Ilham dibesarkan dalam keluarga miskin. Ayahnya bekerja sebagai buruh di sebuah kilang minyak masak. Ilham merupakan anak sulung daripada tujuh beradik memang menyedari akan kesusahan yang dialami oleh kedua ibu bapanya. Selain dari belajar dengan tekun Ilham selalu berfikir bagaimanakah cara yang perlu dilakukan untuk meringankan bebanan ibu bapanya. Suatu hari dia mendapat idea dan mencadangkan kepada ibunya supaya merebus pisang dan meletakkan untuk jualan di warung-warung yang berhampiran dengan rumahnya sebagai salah satu juadah sarapan pagi. Ibunya bersetuju dan sejak itu Ilham menggunakan masa sebelum ke sekolah untuk meletakkan pisang rebus di warung-warung berkenaan. Melalui usaha itu ternyata bebanan yang ditanggung oleh ibu bapa untuk menyara keluarga sedikit-sebanyak berkurang. 

Akal yang kita miliki bukan sahaja dapat digunakan untuk berfikir tentang bagaimanakah cara menyelesaikan masalah tetapi juga untuk mencipta sesuatu yang boleh mendatangkan manfaat kepada diri kita dan orang lain.


17. BERFIKIRAN POSITIF

Fikiran positif merupakan fikiran yang dapat membangun dan memperkuat keperibadian dan tingkah laku. Ini juga bererti bahawa kita boleh menjadi peribadi yang lebih matang, lebih berani menghadapi cabaran dan melakukan hal-hal yang sihat (Sakina, 2008). Kita perlu berfikiran positif bagi tujuan mempertingkatkan jati diri akibat daripada masalah yang dihadapi dan menguatkan semangat dalam menghadapi ketidaktentuan yang bakal kita tempuhi. 

Setiap kali berhadapan dengan masalah kita akan mengalami gangguan perasaan dan jalan penyelesaian perlu dicari dengan seberapa segera yang boleh bagi mengelakkan daripada gangguan itu menjadi semakin besar. Jalan yang kita cari itu mungkin dapat atau tidak dapat menyelesaikan masalah. Gangguan perasaan akan berakhir sekiranya masalah dapat diselesaikan tetapi ia akan berterusan atau bertambah jika kita gagal. Bolehkah perasaan dikawal atau diredakan walaupun kita tidak dapat menyelesaikan masalah itu. Jawabnya boleh jika kita berfikiran positif. 

Zahari adalah seorang penjual burger tepi jalan di sebuah taman perumahan tidak dapat berniaga disebabkan arahan kerajaan tidak membenarkan perniagaan jenis itu dijalankan buat sementara waktu bertujuan membendung penularan wabak virus Covid-19 di kalangan penduduk seluruh negara. Simpanannya semakin kurang sedangkan dia perlukan wang untuk menampung perbelanjaan isteri dan dua anaknya. Bagi mengatasi masalahnya dia mengambil keputusan untuk menjual burger secara online. Media sosial seperti Facebook, WhatsApp dan Instagram digunakan untuk menerima tempahan dan dihantar ke rumah melalui Food Panda.

Setelah 10 hari berniaga secara online Zahari mendapati sambutan daripada pelanggan tidak menggalakkan. Masalah yang dihadapinya gagal diselesaikan tetapi Zahari dapat mengawal perasaan kecewanya dengan berfikir secara positif. Dia meneruskan perniagaannya dan memperbaiki beberapa kelemahan yang dikenalpasti selama 10 hari itu. Antaranya dengan memperbanyakkan jumlah iklan melalui media sosial dan mengubah ayat yang lebih baik untuk menarik pelanggan. Selang beberapa hari kemudian permintaan ke atas burgernya meningkat dan masalah yang dihadapi oleh Zahari dapat diatasi.

Berfikiran positif bukan sahaja dapat membantu kita mengawal perasaan ketika sedang menghadapi masalah tetapi juga memberi kekuatan untuk bertindak dengan lebih berkesan walaupun mencabar sehingga akhirnya kita berjaya.  


Friday, September 16, 2016

16. MEMBERI PERHATIAN KEPADA IBU BAPA

Ibu bapa menjaga kita sejak lahir sehinggalah kita berdikari iaitu sudah boleh bergantung hidup pada diri sendiri atau tidak lagi bergantung kepada mereka. Sepanjang tempoh penjagaan itu sudah tentu ibu bapa banyak menghabiskan tenaga mental dan fizikal serta pengorbanan yang tinggi terhadap kita. Biar pun susah atau senang Ibu bapa tidak pernah merasa jemu sepanjang masa mengasuh dan mendidik kita.

Apabila kita sudah bekerja atau berumahtangga dan berpisah dengan ibu bapa kita mempunyai tanggungjawab baru iaitu pekerjaan dan keluarga kita. Namun peranan kita sebagai anak masih tidak terlepas daripada tanggungjawab terhadap ibubapa. Paling tidak kita harus sering berhubung untuk bertanya khabar dengan mereka melalui telefon sekiranya kita tinggal berjauhan atau kita sering menjengok mereka jika tinggal berdekatan.

Keperluan ibu bapa terhadap anak adalah berbeza. Bagi ibu bapa yang berkemampuan dari segi pendapatan mereka tidak memerlukan harta atau wang tetapi lebih kepada hubungan baik dengan anak-anak mereka. Sekiranya ibu bapa tergolong dalam kategori kurang berkemampuan dari segi pendapatan dan usia sudah lanjut tentu mereka memerlukan bantuan kewangan daripada anak-anak sekiranya berkemampuan dan menjaga mereka.

Sifat ibu bapa umumnya tidak akan memberitahu tentang keperluan mereka sama ada dari segi perhubungan atau pendapatan tetapi adalah menjadi tanggung jawab anak-anak untuk melihat dan memberi perhatian mengenai hal-hal tersebut. Memberi perhatian kepada ibu bapa merupakan cabaran kepada anak-anak. 

Walaupun banyak halangan yang akan ditempohi oleh kita dalam usaha untuk memberi perhatian kepada ibu bapa namun kita perlu mencari jalan untuk memberi perhatian kepada ibu bapa. Keupayaan kita mengatasi halangan sehingga kita mampu memberi perhatian kepada mereka merupakan satu tindakan terpuji.

15. MEMUJUK HATI KITA

Hidup kita ada ketikanya suka dan kalanya duka. Kita suka apabila kita tidak ada masalah atau sesuatu yang diingini itu dapat kita perolehi. Sebaliknya kita berduka apabila ditimpa masalah atau sesuatu yang diingini itu tidak dapat kita perolehi. Suka dan duka itu merupakan putaran hidup kita yang dikaitkan dengan hati dan perasaan. Kita perlu mengatasi dengan seberapa cepat yang boleh jika kita mengalami kedukaan atau kesedihan. Ini bagi mengelakkan diri kita menjadi stress yang boleh menjejaskan kesihatan.

Kesedihan berlaku boleh berpunca dari pelbagai faktor seperti masalah kewangan, kesihatan, keselamatan, cinta, keluarga, pekerjaan, perniagaan dan sebagainya. Tanpa mengira apa masalah yang dihadapi kita perlu mengatasinya. Salah satu cara adalah dengan memujuk hati kita sendiri. Memujuk hati bererti kita menerima dengan hati terbuka setiap masalah yang dihadapi. Kita tidak menyalah sesiapa tetapi mengangapnya sebagai sesuatu masalah yang berlaku itu bukan untuk dikesali tetapi mempunyai sebab dan hikmahnya.

Seorang pekerja perempuan bernama Aminah ketika berjalan kaki balik dari tempat kerja menuju ke hentian bas tiba-tiba beg tangannya diragut oleh seorang lelaki tidak dikenali yang kemudiannya melarikan diri dengan kawan yang menunggunya dengan motosikal. Aminah tidak sempat berbuat apa-apa dan apabila ditanya oleh salah seorang yang nampak kejadian itu, dia menyatakan bahawa perkara yang sudah berlalu biarlah berlalu dan apa yang penting ialah dia harus berhati-hati di masa hadapan apabila berjalan di kawasan yang berisiko dengan kegiatan meragut.

Selain membuat laporan polis Aminah tetap bersyukur kerana dia tidak cedera kerana baginya jika nasibnya tidak baik mungkin dia boleh terjatuh di atas jalan raya dan kepala boleh cedera sehingga kemungkinan berlaku koma. Baginya rugi tetap rugi tetapi lebih baik rugi sedikit daripada mengalami kecederaan parah.

Tindakan yang dilakukan oleh Aminah itu sebenarnya merupakan satu tindakan untuk memujuk hatinya. Hal ini boleh dilakukan oleh kita juga. Kita boleh memberitahu diri kita iaitu musibah yang kita terima itu tidaklah begitu berat kalau dibandingkan dengan orang lain ditimpa musibah yang lebih teruk lagi. Melalui cara memujuk hati kita, masalah atau musibah yang kita hadapi akan terasa lebih ringan menjadikan hati dan perasaan kita kembali ceria.  

14. SEDIKIT TETAPI BERMAKNA

Mana yang lebih baik antara jumlah yang sedikit atau banyak adalah bergantung kepada tujuan kita. Dalam membuat kebajikan kepada orang yang memerlukannya tentulah lebih banyak adalah lebih baik sedangkan dalam perkara membuat perkara yang membazir misalnya menghisap rokok adalah semakin sedikit semakin baik atau jika tidak dilakukan lagi baik. Dari sudut lain pula semakin banyak kita lakukan semakin tidak baik untuk kita misalnya kita mendedahkan keburukan orang lain tanpa alasan yang rasional. Begitu juga semakin sedikit kita dapat lakukan semakin baik pula untuk kita, contohnya dalam peperiksaan di sekolah atau universiti iaitu semakin sedikit kesalahan dalam jawapan semakin tinggi markah akan kita perolehi.   

Dalam pertandingan sukan acara larian seperti 100 meter telah menetapkan sesiapa mendapat catatan masa paling sedikit akan menjadi pemenang atau juara. Pelari terpantas dunia disandang oleh Usain Bolt dari Jamaica dengan catatan rekod dunia bagi acara 100 meter dalam masa 9.58 saat dan pada tahun 2019 dirinya bernilai $US90 juta (RM400 juta). Tempat kedua dimenangi oleh Tyson Gay dengan catatan masa 9.69 saat. Perbezaan antara kedua mereka hanyalah 0.11 saat sahaja iaitu sangat sedikit tetapi disebabkan yang sedikit itulah Usain Bolt bergelar juara dan membolehkannya memiliki ratusan juta ringgit. Sekiranya dia tidak menitikberatkan yang sedikit itu sudah tentu dia bukan bergelar juara dan nilai wang ratusan juta ringgit itu akan dimiliki oleh pelari lain.

Dalam kehidupan kita sering memandang rendah kepada yang sedikit dan ada kala tidak mahu memandang pun jumlah itu. Ini sering berlaku dalam perniagaan atau kerjaya kita dalam sesebuah organisasi. Dalam perniagaan kita mahu cepat-cepat dapat untung yang besar dan kalau untung sedikit kita mula memikirkan untuk mencari perniagaan yang lain supaya mendapat keuntungan yang lebih besar walhal jika kita benar-benar fokus kepada perniagaan yang pada mulanya untung sedikit dengan memperbaiki kelemahan mungkin lama kelamaan kita akan mendapat keuntungan yang tinggi. Strategi baru perlu dicari supaya kiata mampu bersaing dengan dalam pasaran yang terbuka. 

Begitu juga dalam organisasi, pekerja semua peringkat harus memberi penekanan kepada sesuatu perkara walaupun kelihatan kecil seperti layanan baik kepada pelanggan, sentiasa senyum, bekerja dengan penuh komited dan integriti kerana ciri-ciri tersebut akan menentukan organisasi kita berjaya memuaskan hati pelanggan atau masyarakat atau sebaliknya.

13. MENGIKUTI PERKEMBANGAN SEMASA

Setiap masa ada sahaja kejadian berlaku di sana sini. Ada kejadian yang menarik minat kita, orang lain dan global. Paling penting yang perlu kita mengambil tahu dan mengikuti perkembangan semasa adalah tentang kejadian yang menarik minat global. Mengikuti perkembangan semasa bukan sahaja boleh membantu kita menambahkan pengetahuan tetapi juga dapat memberi gambaran sebenar apa yang sedang berlaku di sekeliling kita. 

Semakin banyak kita mengetahui apa yang berlaku di sekeliling semakin banyak pula pengetahuan yang kita perolehi. Kita harus mengambil tahu bukan setakat perkara pokok sahaja tetapi juga mengetahui sedikit sebanyak perkara-perkara yang berkaitan dengannya. Kita boleh ambil contoh dengan wabak virus Corona atau Covid-19 yang merebak ke seluruh negara di dunia. Perkara pokok yang menjadi isu global ialah wabak atau pandemik Covid-19. Boleh dikatakan hampir semua orang tahu akan masalah Covid-19 yang mula berlaku pada penghujung tahun 2019 di Wuhan China dan seterusnya merebak ke negara-negara lain pada awal tahun 2020. Akan tetapi tidak ramai yang ingin tahu tentang perkara-perkara penting yang relevan dengan Covid-19. 

Antara perkara relevan dengannya seperti laporan harian yang merangkumi jumlah kes positif baru, sembuh atau discaj dari hospital, masih dirawat dan kematian. Kita mengambil tahu perkara yang asas sudah memadai bagi memastikan kita tidak ketinggalan dalam perkembangan terkini berkaitan dengan isu semasa. Setiap masa kita pasti akan bertemu dan berkomunikasi dengan seseorang. Paling tidak kita berkomunikasi dengan keluarga. Anak-anak akan lebih menghormati kita jika kita mampu memberi sedikit sebanyak info tentang perkembangan terkini wabak Covid-19 berbanding dengan orang yang ketiadaan info langsung tentang isu semasa atau global.

Mengikuti perkembangan semasa bukan sahaja menjadikan diri kita tidak ketinggalan dalam arus kemajuan masyarakat tetapi juga dapat membantu kita untuk membuat perancangan dan keputusan dalam apa jua aktiviti yang hendak kita jalankan. Di samping itu juga boleh membuat diri kita lebih bepengetahuan dan disegani oleh orang lain. 

12. DARI MANA SUMBER PENDAPATAN KITA

Pendapatan yang kita perolehi akan dibelanjakan untuk keperluan diri kita sendiri dan juga orang lain. Kita memperolehinya atas usaha yang kita lakukan melalui berniaga, bekerja, melabur atau menabung. Kita akan berpuas hati dan merasa seronok apabila pendapatan yang kita terima itu datang daripada sumber yang kita usahakan sendiri. Perasaan gembira menerimanya kerana segala usaha dan penat lelah kita itu telah membuahkan hasil yang berbaloi.  

Kenikmatan memperolehi pendapatan menjadi semakin tinggi apabila kita memperolehinya daripada sumber yang sah atau halal. Sebaliknya kita tidak akan merasa nikmat sebenar sekiranya pendapatan itu adalah daripada sumber yang salah dari segi undang-undang atau haram di sisi agama seperti penipuan, mencuri, merompak, rasuah, judi dan sebagainya. Biarlah kita memperolehi pendapatan sedikit daripada sumber yang betul atau halal berbanding dengan pendapatan banyak tetapi sumbernya tidak betul atau haram. 

Memperolehi pendapatan sedikit atau banyak bukan menjadi masalah kepada kita asalkan sumbernya betul atau halal. Seorang pesara bernama Ramli ketika ditanya oleh salah seorang anaknya kenapa dia kelihatan bahagia sepanjang masa dia bekerja sehinggalah dia bersara. Ramli menjelaskan kepada anaknya bahawa sepanjang tempoh perkhidmatan dia tidak pernah menerima rasuah walaupun banyak kali ditawarkan oleh pihak-pihak yang berkepentingan dengan jawatannya. Pernah pada suatu masa Ramli menolak tawaran rasuah melebihi RM20 ribu daripada seorang peniaga walaupun ketika itu dia sedang menghadapi masalah kewangan ekoran dua orang anaknya berjaya melanjutkan pelajaran di universiti tempatan. Ramli menolak disebabkan dia percaya bahawa wang rasuah merupakan punca utama menyebabkan seseorang itu hidup dalam ketakutan dan tidak bahagia. 

Katanya lagi kita mungkin mampu mendapat untung dalam jangka masa pendek tetapi dalam jangka panjang kita akan rugi iaitu rugi dari segi perasaan yang dihambat oleh kegelisahan dan ketakutan sehingga membentuk rupa yang cemas lantas tidak bahagia. Pesan Ramli kepada anaknya jika inginkan terus hidup bahagia sepanjang masa kita perlu memastikan pendapatan yang kita perolehi adalah bebas daripada sumber yang tidak sah atau haram. Carilah harta yang sah dan halal, katanya lagi.

Siapa yang tidak mahu pendapatan tinggi dan pastinya kebanyakan kita mahukannya namun begitu biarlah pendapatan yang kita perolehi itu datangnya dari sumber yang betul dari segi undang-undang atu halal dari segi agama. Kebahagiaan hidup kita dalam jangka panjang adalah jelmaan daripada sumber dari mana yang kita perolehi pendapatan itu untuk kegunaan diri dan keluarga kita. Hidup kita bahagia apabila kita memperolehi pendapatan yang sah atau halal. 

11. MENGEJAR KEBAHAGIAAN

Manusia sentiasa mengejar kebahagiaan tetapi semakin kita mengejarnya semakin jauh pula ia meninggalkan kita. Kebahagiaan tidak perlu dikejari kerana ia sudah pun berada dalam diri kita jika langkah yang kita lakukan adalah betul. 

Kebahagiaan itu adalah ditentukan oleh minda kita sendiri. Kalau minda kita mengatakan bahagia bermakna bahagialah kita dan begitu juga di sebaliknya jika minda kita mengatakan kita tidak bahagia maka tidak bahagialah kita. 

Pengaruh minda ke atas diri kita sangat besar. Kita harus memahami maksud dan lokasi kebahagiaan itu dengan jelas supaya minda kita dapat membantu kita. Kebahagiaan bermaksud perasaan kita yang gembira dan tenang pada sesuatu jangka masa. Sebenarnya kebahagiaan itu berada sangat dekat dengan kita iaitu dalam diri kita sendiri. Kita boleh menemuinya setiap masa tanpa perlu mengambil masa lama dan perjalanan jauh.

Kita sering meletakkan kebahagiaan itu berada di tempat lain dan mengaitkan dengan memperolehi sesuatu yang kita ingini itu barulah kita boleh menikmati kebahagiaan. Kita ingin memiliki sebuah kereta Honda Accord baru. Bagaimana pula kalau kita tidak berjaya dan hanya mendapat kereta terpakai sahaja. Jawabnya kita masih boleh bahagia jika dari awal lagi kita sudah menetapkan di minda untuk bersedia menerima apa sahaja hasilnya sama ada berjaya memiliki kereta baru atau terpakai, kita tetap merasa bahagia.  

Kita boleh bahagia bukan kerana kereta itu baru atau terpakai tetapi disebabkan sikap kita yang menetapkan kebahagiaan itu bukan berada pada kereta baru atau terpakai tetapi kita meletakkan kebahagiaan itu di minda kita. Kebahagiaan rupanya sudah pun berada dalam diri kita bukannya di luar sana dan cuma kita sahaja yang perlu mengenalpasti dan menentukan di manakah tempat kebahagiaan itu sebenarnya berada. 


10. MEMUPUK SIKAP ANAK RAJIN MEMBACA

Membaca memberi peluang kepada kita untuk mengetahui dan mempelajari sesuatu perkara daripada orang lain. Mereka akan menceritakan sesuatu melalui tulisan dan kadang-kadang memaparkan gambar dalam buku atau penerbitan yang mereka terbitkan. Semakin banyak kita membaca semakin banyak kita mendapat peluang untuk berkongsi pengetahuan dan pengalaman dalam pelbagai bidang yang ditulis oleh pelbagai pengarang.

Membaca bukanlah sikap yang diminati oleh semua orang. Melahirkan anak dan individu yang berminat membaca perlu dipupuk mulai dari kecil atau awal lagi. Kaedah terbaik adalah dengan menunjukkan teladan suka membaca oleh ibu bapa terhadap anak-anak. Anak-anak yang melihat ibu bapa mereka suka membaca akan mempengaruhi mereka untuk turut membaca. Ibu bapa perlu sering membeli buku-buku cerita yang boleh menarik minat untuk mereka membaca. Mula-mula kita belikan buku cerita jenis A dan katakan mereka kurang berminat kita ubah pula kepada jenis B dan begitulah seterusnya sehinggalah kita menemui jenis buku apakah yang mereka minati. Sebaik sahaja kita dapat mengenalpasti jenis buku kesukaan mereka kita harus bersedia untuk membeli buku-buku itu apabila mereka meminta untuk membelinya.

Membaca merupakan proses yang berterusan iaitu bermula dari peringkat kanak-kanak sehinggalah dewasa dan menjadi orang lanjut usia. Bahan-bahan bacaan seperti buku, surat khabar, majalah, risalah, bacaan melalui internet dan sebagainya bukan sahaja memberi maklumat dan pengetahuan kepada kita tetapi menjadi teman setia kita sepanjang masa. Sewaktu saya berkursus di Tokyo, Jepun selama sebulan pada tahun 1988 saya sentiasa menaiki keretapi untuk pergi dari satu tempat ke satu ke satu tempat yang lain. Ketika berada dalam keretapi tidak kelihatan seorang penumpang pun menggunakan telefon bimbit kerana pada masa itu penggunaannya amat terhad dan hanya orang yang kaya sahaja mampu memilikinya. Saiz telefon bimbit yang ada pun adalah besar dan berat serta boleh digunakan untuk telefon semata-mata tanpa internet seperti sekarang.

Rata-rata penumpang Jepun lakukan sepanjang perjalanan adalah membaca buku sama ada buku pelajaran, hiburan, novel, maklumat dan sebagainya. Buku menjadi teman setia kepada mereka di mana-mana pun mereka berada. Apabila saya melihat sendiri sikap orang Jepun yang suka membaca saya kaitkan dengan kemajuan yang dicapai oleh masyarakat dan negaranya yang merupakan salah sebuah negara yang termaju di dunia dengan berkata dalam hati saya, "Oh, patutlah orang Jepun maju kerana sikapnya yang rajin membaca dan membaca itu merupakan sebahagian daripada budayanya."

Kehidupan kita tidak boleh lari daripada ilmu. Tanpa ilmu kita akan menjadi masyarakat mundur dan ketinggalan jauh ke balakang berbanding dengan masyarakat yang berilmu. Ilmu tidak datang dengan sendiri kerana kitalah perlu mencari dan menimbanya. Antara sumber utama untuk mendapatkan ilmu adalah melalui pembacaan. Banyak membaca akan mencerdaskan fikiran kita lantas boleh meningkatkan kemajuan masyarakat dan negara.

9. MENJAGA KEBAJIKAN

Memimpin tidak semudah menjadi pemimpin. Setiap pemimpin akan mempunyai pengikut atau orang di bawah tanggungan yang mungkin bilangannya ramai atau sedikit. Hari ini kita mendirikan rumahtangga bermakna sang suami sudah pun bergelar seorang pemimpin. Seorang isteri yang mempunyai anak juga merupakan seorang pemimpin. Pemimpin yang bagus mempunyai beberapa ciri utama dan antaranya adalah menjaga kebajikan orang yang berada di bawah kepimpinannya.

Hubungan baik antara pemimpin dengan anak buah atau keluarga merupakan satu perkara positif dalam sesebuah organisasi dan pemimpin yang mengambil berat tentang kebajikan mereka merupakan ciri penting dalam mewujudkan hubungan baik itu. Imran merupakan seorang ketua di sebuah penjara. Dia sentiasa melawat kawasan kediaman atau kuarters pegawai dan anggota penjara. Lawatannya bertujuan untuk mempastikan keseluruhan kawasan kuarters berada dalam keadaan baik seperti kebersihan kawasan, rumput sentiasa dipotong pendek, longkang tidak tersumbat, pagar sentiasa dalam keadaan baik yang selamat daripada pencerobohan luar dan kelengkapan di taman kanak-kanak tidak rosak. Keluarga pegawai penjara yang tinggal di kuaters tidak akan merasa ceria jika persekitarannya tidak terjaga. Tindakan Imran itu dilihat oleh anak-anak buahnya sebagai seorang ketua atau pemimpin yang mengambil berat tentang kebajikan mereka dan tidak hairanlah rata-rata anak-anak buahnya menghormati dan menyayangi Imran.

Seorang ayah sering meluangkan masa untuk bersama keluarga pada hari minggu dengan membawa menjalankan aktiviti bersama seperti berkelah di tepi pantai, bersiar-siar di taman rekreasi, berkhemah di kawasan air terjun, bermain boling dan sebagainya sudah pasti memberi impak baik ke atas perasaan anak-anak dan isterinya. Anak-anak pasti gembira dengan sikap ayahnya itu dan sifatkan sebagai seorang ayah yang mengambil berat tentang kebajikan mereka. Isteri pula bangga kerana mempunyai seorang suami yang perihatin kepada keluarganya.

Menjaga kebajikan orang di bawah jagaan atau pimpinan kita dapat mewujudkan hubungan baik antara kedua-dua pihak. Hubungan baik adalah penting dalam melahirkan suasana kerja ceria dalam organisasi atau menjadikan keluarga bahagia dalam institusi kekeluargaan.

8. FAEDAH MEMENTINGKAN MASA

Masa tidak pernah ada masa untuk menjaga kita. Kitalah yang harus menjaga masa yang amat bernilai itu. Menjaga masa dengan baik dapat membantu kita mencapai tujuan atau matlamat yang kita tetapkan. Sebaliknya kita akan rugi sekiranya kita tidak memanfaatkan masa itu dengan sebaik mungkin.

Kita sering berkata tidak ada masa untuk melakukan sesuatu walaupun apa yang hendak diusahakan itu adalah berfaedah untuk kita. Bagi sesetengah orang pula mereka tidak mahu menjadikan masa sebagai alasan untuk tidak memulakan usaha. Akmal adalah seorang kerani sekolah mempunyai lima orang anak dan isterinya merupakan suri rumah sepenuh masa. Dia mempunyai kawasan tanah kosong yang agak luas di belakang rumahnya. Suatu hari dia berbincang dengan isterinya untuk menanam tebu di kawasan itu bagi menampung kekurangan perbelanjaan keluarga mereka. Isterinya tidak membantah dan bersetuju dengan cadangan suaminya.

Pada mulanya Akmal hendak mengusahakan tanaman itu dalam tempoh enam bulan dengan alasan tidak perlu terburu-buru kerana masa masih panjang tetapi isterinya menasihatkan diusahakan dengan secepat mungkin. Akmal akur dengan nasihat isterinya dan bermulanya pada pagi hari minggu dia terus mengusahakan kawasan untuk menanam tebu. Setelah beberapa bulan Akmal mengusahakan akhirnya dia berhasil menjual tebunya itu kepada pemborong dengan mendapat keuntungan yang boleh menampung perbelanjaan kelurganya.

Menangguhkan usaha akan melambatkan faedah yang kita perolehi. Mengusahakan sesuatu tanpa penangguhan bukan sahaja menjadikan kita sebagai orang yang mementingkan dan menghargai masa. Antara ciri utama orang yang berjaya adalah mereka yang bersikap mementingkan masa, tidak menangguh dan membazir masa.


7. MENGATASI MASALAH

Sebagai manusia kita pasti akan menghadapi masalah dan ia mungkin kecil atau besar. Pelbagai cara digunakan untuk mengatasi masalah yang dihadapi. Kadangkala masalah dapat diatasi dengan mudah dan ada kalanya rumit. Setiap masalah perlu ditangani dengan sebaik mungkin. Kita jangan lari dari masalah kerana dikhuatiri boleh merumitkan lagi keadaan. 

Beberapa cara boleh kita gunakan untuk mengatasi masalah. Antaranya sebaik sahaja kita menghadapi masalah kita segera berdoa kepada Tuhan agar diberi petunjuk bagaimana cara yang perlu kita lakukan untuk mengatasinya. Tuhan akan brikan kita petunjuk jalan terbaik kepada kita apabila kita memohon doa dan pertolongan daripadaNya.  

Tenang dan lapangkan fikiran ketika kita sedang berhadapan dengan masalah. Ketenangan fikiran amat diperlukan ketika itu disebabkan kita mahu membuat keputusan yang paling baik  dan tidak ingin berlaku kesilapan. Seorang ayah sedang menghadapi masalah anaknya berumur dua tahun terperangkap dalam kereta yang tiba-tiba terkunci ketika dia hendak membeli roti Gardenia di kedai 7 Eleven. Dia pada awalnya panik tetapi sempat berfikir supaya tenangkan fikiran ketika mencari jalan hendak mengatasinya. Ada seorang pemuda bermotosikal berhenti dan menawarkan pertolongan kepadanya. Pemuda itu mengambil sebatang besi kecil yang memang disimpan di motosikalnya lalu menggunakan kemahirannya membuka pintu kereta dengan jayanya. Setinggi terima kasih diucapkan kepada pemuda itu membantunya. 

Selain itu kita juga boleh meminta pendapat orang lain yang berpengalaman untuk menyelesaikan masalah. Masalah yang kita hadapai mungkin rumit untuk kita atasi disebabkan kurang bepengalanan berbanding dengan orang lain yang sudah berpengalaman. Bagi kita yang kurang berpengalaman kadang-kadang masalah kecil pun tidak mampu kita mengatasinya sedang bagi orang berpegalaman pula masalah begitu besar pun mudah sahaja mereka mengatasi. Ini berlaku biasanya orang disebabkan orang berpengalaman mempunyai momentum penyelesaian masalah lebih tinggi berbanding dengan mereka yang kurang pengalaman.

Masalah yang berlaku tidak boleh dibiarkan berlanjutan dan kita perlu mencari jalan dengan apa cara sekali pun supaya kita dapat menyelesaikannya dengan secepat dan sebaik mungkin. Kita jangan sekali kita lari daripada masalah kerana dikhuatiri kita akan menghadapi masalah yang lebih besar lagi. 

6. MELIHAT KELEMAHAN SENDIRI

Sesuatu yang kita usahakan tidak semesti semuanya akan berjaya. Kegembiraan pasti terasa apabila kita berjaya memperolehi daripada apa yang kita usahakan dan begitu juga sebaliknya kita sudah tentu merasa sedih jika tidak berjaya.

Apakah reaksi kita selain bersedih apabila berlaku kegagalan. Mungkin juga kita tidak meletakkan kegagalan itu berpunca daripada diri sendiri tetapi lebih cenderung menuding jari kepada orang lain. Seorang pemain badminton gagal mengekalkan kejuaraan yang dirangkulnya pada tahun sebelumnya dan beberapa orang rakan sepermainan menyalahkan jurulatihnya atas kegagalan itu ketika mereka berembang di sebuah kafeteria. Mereka menyalahkan teknik latihan yang diajar oleh jurulatih itu dan mengganggap sebagai ketinggalan zaman.

Pemain yang gagal itu tidak mahu melihat kegagalannya adalah berpunca daripada jurulatih tetapi melihat kelemahannya sendiri. Dia tidak setuju dengan pandangan yang diberi oleh rakan-rakannya itu. Baginya kegagalan adalah berpunca daripada dirinya sendiri bukan jurulalatihnya. Antara kelemahan utama ialah tidak konsisten ketika menjalani latihan. Dia sepatut menjalani sekurang-kurangnya enam jam sehari bersama-sama pemain lain tetapi tidak dapat melakukannya dengan alasan menghadapi masalah peribadi dan keluarga.

Setelah menyedari kelemahan itu dia mula merubah sikap dan terus mengekalkan latihan secara konsisten iaitu menjalani latihan tidak kurang daripada enam jam sehari seperti yang ditetapkan oleh jurulatih. Pada kejohanan yang berlangsung pada sirkit seterusnya dia berjaya merangkul kembali sebagai juara perseorangan dalam kejuaraan badminton peringkat kebangsaan. 

Apa yang kita dapat pelajari daripada kisah di atas ialah betapa pentingnya kita melihat kelemahan diri sendiri atau muhasabah diri sebagai punca utama kegagalan kita. Meletakkan kelemahan terhadap diri kita sendiri adalah lebih mudah untuk kita mengatasi kegagalan daripada kita meletakkan kelemahan atau hendak merubah sikap orang lain. 


5. MENJAGA HUBUNGAN BAIK

Tuhan mencipta kita melalui kedua orang tua kita. Tanpa izin Allah dan faktor kedua ibu bapa kita tidak dapat berada di atas dunia ini. Kita perlu sentiasa bersyukur kepada Allah dan berterima kasih kepada ibu bapa. Tindakan yang patut dilakukan sebagai tanda kita bersyukur adalah dengan cara menjaga hubungan baik kita dengan Allah dan kedua ibu bapa. Menjaga hubungan baik dengan Allah dan ibu bapa akan memberi keberkatan dan kebahagiaan hidup kepada kita.

Seorang pemuda bernama Osman dibesarkan di sebuah perkampungan Felda bersama ibu bapanya. Bapanya seorang peneroka dan ibunya turut membantu bapanya menoreh getah. Sejak kecil ketika berumur tujuh tahun Osman tidak pernah meninggalkan sembahyang lima waktu dan berpuasa pada bulan Ramadan. Dia juga kerap menunaikan solat berjemaah di masjid yang terletak satu kilometer dari rumahnya. Sebagai remaja Osman mempunyai ramai kawan dan di kalangan mereka ada yang baik dan nakal. Pernah suatu ketika dia diajak oleh kawan-kawannya untuk mencuri basikal di rumah peneroka tetapi Osman menolaknya kerana dia tahu perbuatan itu adalah salah dari segi agama dan juga dia selalu ingat pesan ibu bapanya supaya tidak mengambil sesuatu bukan hak kita kerana perkara itu adalah dilarang oleh agama dan menyalahi undang-undang.

Ibu bapa Osman memintanya supaya rajin belajar, mengemas rumah, patuhi ajaran agama, menghormati orang tua dan hubungan baik dengan adik beradik. Kesemua pesanan dan nasihat ibu bapanya itu dipatuhi dengan baik oleh Osman demi menjaga hubungannya dengan Tuhan dan ibu bapa. Osman mempunyai enam orang adik beradik iaitu tiga lelaki dan tiga perempuan.

Osman kini menjadi seorang akauntan senior dengan di sebuah syarikat perakaunan di Kuala Lumpur dan setiap masa mengambil berat dan kebajikan ibu bapanya. Dia merasa bahagia dengan kehidupan yang ditempuhinya selama ini dan selalu memberitahu rakan-rakannya semakin dia menjaga hubungan dengan Tuhan dan ibu bapanya semakin bahagia pula hidupnya walau pun pendapatan bulanannya untuk menampung isteri dan anak-anaknya di ibu kota tidaklah tinggi.

Kehidupan kita sama ada susah atau senang bergantung kepada hubungan kita dengan Tuhan dan ibu bapa. Kadang-kadang kita dapat lihat orang yang banyak wang atau berjawatan tinggi tetapi hidup tidak bahagia disebabkan hubungannya dengan Tuhan dan ibu bapa tidak dijaga dengan baik. Demi keberkatan dan kebahagiaan hidup sewajarlah kita memberi penekanan kuat kepada menjaga hubungan baik kita dengan Allah dan ibu bapa.


4. MENGHADAPI KECEMASAN

Setiap orang pasti mempunyai kenangan ketika menghadapi saat yang cemas. Semasa menghadapinya kita perlu ingat pada Tuhan dan yakin Tuhan akan sentiasa bersama orang yang memerlukan pertolongan daripadaNya.

Pada 23 januari 2007 iaitu lebih kurang jam 8.15 pagi saya membawa isteri ke Hospital Serdang kerana sakit perut untuk bersalin. Setelah sampai dan terus mendaftar di Dewan Bersalin kira-kira pukul 11.20 pagi saya dipanggil oleh jururawat ke bilik nombor 14 di mana isteri saya ditempatkan.

Setelah sampai saya melihat isteri saya berada di katil dan mengerang kesakitan. Saya terus ke tempatnya dan meminta supaya ia bersabar dan menyebut nama Allah. Beliau menyebut secara selang-seli antara nama Allah dan sakit. Beberapa minit kemudian saya terus menekan butang kecemasan dan seramai tiga jururawat datang dan mereka memeriksa keadaan isteri saya dan terus menjalankan tugas untuk menyambut kelahiran bayi.

Isteri saya bertarung dengan nyawa. Saya begitu cemas kerana isteri saya menarik nafas beberapa kali tapi masih gagal untuk mengeluarkan kepala bayi. Dua orang jururawat memberi kata-kata perangsang. Saya terus meminta isteri saya menyebut nama Allah dan cuba sedaya upaya.

Setelah berkali-kali mencuba bersama dengan menyebut nama Allah dan akhirnya isteri saya berjaya melahirkan bayi lelaki yang kelima.

Tuhan saja yang tahu betapa cemasnya saya tapi bila berjaya maka terus perasaan bertukar dengan kegembiraan. Begitulah pentingnya memohon pertolongan daripada Tuhan semasa cemas dan betapa gembiranya bila rasa cemas sudah hilang.

Itulah saat kecemasan yang tidak dapat saya lupakan dalam hidup kerana pertama kali saya melihat isteri saya bersalin. Saya mengeluarkan air mata melihat kesakitan isteri ketika hendak mengeluarkan kepala bayi dan setelah berjaya air mata juga mengalir keluar tatapi gembira atas usaha gigih yang dilakukan oleh isteri dalam perjuangan antara hidup dan mati serta gembira kerana mendapat putera yang baru. Bayi itu kemudiannya diberi nama Wan Fakhruddin Atiqi Bin Wan Mohamad Nazarie.

Tuesday, September 13, 2016

3. TERBURU-BURU BOLEH MENYUSAHKAN

Duit bukannya cukup untuk beli kereta baru tetapi hati sudah berkenan dengan Honda Civic baru. Kereta lama Axia masih elok lagi tetapi keinginan untuk membeli Honda Civic mengatasi semua kekurangan dan faktor yang ada seperti wang masih kurang, ansuran bulanan lebih tinggi, isteri tidak bekerja sedang mengandung, Hari Raya Aidil Fitri hampir tiba, keluarga di kampung sering minta bantuan kewangan dan lain-lain.

Semuanya itu tidak dapat menghalang hasratnya untuk mendapatkan Myvi baru. Isteri pula memberi nasihat agar tidak terburu-buru dan ditangguh sehinggalah semua masalah dapat diatasi terlebih dahulu. Cadangan isteri tidak diendahkan bahkan dimarahi pula.

Kereta Axia pun dijual dan wang baki cuma sedikit dan digunakan untuk membayar deposit kereta Honda Civic. Setelah beberapa bulan mnggunanya, mulalah terasa sedikit demi sedikit bebanan sehingga seperti tidak terpikul lagi bebanan itu lantaran timbullah pula perasaan menyesal kerana bertindak terburu-buru. Menyesal dahulu berguna dan menyesal kemudian merana.

Kehidupan mesti diteruskan dan kesusahan harus ditempuhi biar pun berlapar dan berikat perut. Kita sepatutnya tidak perlu sampai ke tahap itu tetapi apa boleh buat disebabkan sikap terburu-buru itulah akhirnya boleh menyusahkan bukan sekadar diri sendiri tetapi juga keluarga yang tersayang.

Itu hanyalah satu contoh yang berlaku kepada individu berkenaan dan banyak lagi hal-hal lain yang berlaku yang menyebabkan kita bertindak terburu-buru. Adalah lebih baik lambat bertindak tetapi berakhir dengan kebaikan daripada terburu-buru yang berkesudahan dengan penyesalan berpanjangan. Dalam hal ini tentunya isteri akan berkata, itulah tak nak dengar cakap isteri sangat.

2. BELAJAR MELALUI KESILAPAN

Setiap orang tidak akan terlepas daripada melakukan kesilapan. Selagi kita tidak mencapai tahap kemahiran yang tertentu selagi itulah kita akan berdepan dengan kesilapan. Kesilapan menjadi semakin berkurang atau terhapus apabila pengalaman kita semakin meningkat.

Sebaiknya kita menjadikan kesilapan itu pelajaran berguna dan pengalaman penting untuk kita meneruskan perjalanan seterusnya. Belajar melalui kesilapan sendiri adalah lebih berkesan daripada belajar melalui kesilapan orang lain. 

Seorang juruwang bernama Sarah di sebuah pasar mini terpaksa menggantikan wang sebanyak RM100 kepada majikannya kerana kesilapan menerima wang palsu RM100 daripada seorang pelanggan. Kesilapan berlaku disebabkan dia tidak mengimbaskan wang itu daripada pelanggan kerana merasa yakin wang yang diterimanya tidak palsu. Majikan menasihatkan Sarah supaya lebih berhati-hati ketika berurusan dengan pelanggan. Tambahnya lagi, pelanggan mesti diberi layanan yang baik tetapi dalam masa yang sama kita perlu memberi pandai melihat gelagat dan pergerakan pelanggan yang mencurigakan supaya kita tidak tetipu oleh pelanggan berniat buruk.

Semenjak kejadian itu Sarah mula berhati-hati agar tidak lagi melakukan kesilapan yang sama. Bahkan dia bukan sahaja berhati-hati dalam soal penerimaan wang daripada pelanggan bahkan Sarah menjadikan kesilapan tersebut sebagai pengalaman dan menitikberatkan tentang perkara-perkara lain yang boleh meningkatkan kualiti pengurusan pasar mini itu. Sikap Sarah yang menunjukkan peningkatan dalam dalam pekerjaannya menarik perhatian pemilik pasar mini itu lantas pada penghujung tahun dia diberi bonus RM1000 sebagai pekerja cemerlang.

Seseorang yang tidak mahu mengambil pengajaran dan terus mengulanginya kerana menganggap kesilapan itu sebagai hal yang kecil sahaja tidak akan berhasil untuk menjadi pekerja yang berjaya. Memperbaiki kesilapan menjadikan kita bertambah cekap dan lebih berjaya dalam kerjaya kita.

1. SABAR MEMBUAHKAN KEMENANGAN

Sesiapa sahaja ditimpa kesusahan akan bersedih hati dan kesedihan itu bergantung kepada ringan atau beratnya masalah itu. Ia boleh berlaku kepada mana-mana individu tanpa mengira kedudukan. Orang yang ditimpa kesusahan itu lebih bersedih daripada orang yang bersimpati seperti kata pepatah, seberat-berat mata memandang berat lagi bahu memikul.

Kesusahan yang dialami seseorang adalah pelbagai seperti kesakitan fizikal, kerugian dalam perniagaan, kegagalan dalam peperiksaan, penceraian, diberhentikan kerja dan sebagainya. Aminah adalah seorang peniaga restoran nasi campur sedang menghadapi masalah dan rasa tertekan disebabkan pelanggannya berkurang. Jika situasi itu berterusan, perniagaannnya akan mengalami kerugian.

Setelah mendapat pandangan daripada keluarga dan kawan-kawan tentang cara-cara untuk mengatasi masalah itu, Aminah mengambil beberapa tindakan penambahbaikan yang difikirkan perlu. Antaranya dengan meningkatkan kualiti makanan, kebersihan restoran, layanan lebih mesra kepada pelanggan dan mengenakan harga berpatutan. Di samping itu sepanjang tempoh penambahbaikan itu, dia sentiasa bersabar dan berdoa kepada Tuhan agar perniagaannya mendapat sambutan baik daripada pelanggan.

Setelah dua bulan kemudian, pelanggan masih belum bertambah sebagaimana yang diharapkan tetapi dia tetap bersabar dan yakin Tuhan akan menolongnya. Sebaik sahaja masuk bulan ketiga pelanggan mulai meningkat dan kadang-kadang semua meja dipenuhi oleh pelanggan sehingga perniagaannya menjadi maju semula.
Selain usaha yang berterusan bagi menjamin kejayaan yang hendak dicapai, kita juga perlu menjadi orang yang sentiasa bersabar kerana setiap kejayaan yang kita harapkan itu kadang-kadang kita dapat capai dengan cepat dan adakalanya lambat. Bagi mereka yang bersabar sudah pasti akan dapat memperolehi kejayaan.